Awang Hashim nafi cabar wakil rakyat bertumbuk

Awang Hashim nafi cabar wakil rakyat bertumbuk

Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim dakwa beliau hanya mahu mengingatkan Ahli Parlimen RSN Rayer.

Ahli Parlimen Awang Hashim kata dakwaan mengatakan beliau ajak bertumbuk adalah tidak benar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim nafi mencabar wakil rakyat lain bertumbuk di luar Parlimen, minggu lalu.

Awang, yang pada Isnin digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 10 hari, mendakwa beliau hanya memberikan peringatan kepada Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer supaya berhati-hati.

Menurutnya, rakaman kelakuan beliau pada hari kejadian tidak menjelaskan maksud sebenar, dan dakwaan mengatakan beliau ajak bertumbuk adalah tidak benar.

“Saya pun tahu kesannya kalau mencabar bertumbuk di luar Parlimen,” katanya lapor Berita Harian.

“Saya hanya mahu mengingatkan Ahli Parlimen terbabit jangan sampai ditumbuk oleh orang lain di luar Parlimen kerana menyentuh isu agama sambil menunjukkan isyarat penumbuk.”

Kejadian itu dikatakan berlaku selepas Ahli Parlimen Marang Hadi Awang membayangkan Kuala Lumpur bermasalah kerana DAP dan rakan-rakan, ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Ia membawa kepada Ahli Parlimen saling berbalas kata-kata, dan wakil rakyat pembangkang keluar Dewan.

Beberapa video tular memaparkan Awang membuat isyarat, seolah-olah mencabar pihak lain untuk bergaduh di luar Dewan Rakyat.

Speaker Johari Abdul menyifatkan kelakuan seperti itu tidak baik.

Awang berkata beliau akur dengan hukuman itu, tetapi kesal kerana dakwanya tidak diberi peluang menjelaskan perkara sebenar.

“Kalau itu hukuman dibuat pemegang peraturan mesyuarat dan mereka kata saya bersalah, saya terima saja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.