
Ariff Aizuddin Azlan berkata selaku komponen terbesar itu, PN perlu menggandakan usaha membawa lebih banyak isu membabitkan orang bukan Melayu.
Ahli akademik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata tindakan terbabit bagi meyakinkan rakyat yang gabungan itu tidak bersikap kritikal terhadap isu etnik dan agama.
“Sikap sambil lewa akan membuka pintu kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mendekati bukan Melayu dengan lebih baik berbanding PN,” katanya.
Semalam, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata pihaknya menolak menyertai gabungan longgar pembangkang yang diumumkan Muhyiddin sambil menyatakan pihaknya tidak selesa kerana banyak parti terbabit memainkan isu kaum.
Isnin lalu Muhyiddin berkata, parti pembangkang bersetuju membentuk gabungan longgar bertujuan memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan serta mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji reformasi yang didakwa masih belum dipenuhi.
Gabungan terdiri Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Berjasa, Urimai, Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan Muslim India Nasional (Iman).
Ariff berkata, tindakan PSM itu akan meletakkan parti terbabit kekal di kedudukan sama apabila tiada kekuatan untuk menarik sokongan rakyat bagi memenangi pilihan raya.
“Sukar bagi PSM untuk lebih menonjol dalam politik kerana parti itu dilihat tidak terlalu agresif.
“Namun, ia dilihat konsisten dalam memperjuangkan nasib dan isu rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula menyifatkan alasan parti itu tidak munasabah dengan mendakwa majoriti ahlinya sendiri terdiri daripada satu kaum.
“Hakikatnya, parti politik di Malaysia memang berasaskan kaum. Mereka menjaga kepentingan satu-satu kaum dan saya melihat PSM juga begitu.
“Sukar untuk mencari satu parti yang benar-benar tidak berlandaskan kaum,” katanya.