
Pasukan yang diketuai oleh Atase Pertahanan Malaysia ke Kemboja Kolonel Nazlee Abdul Rahim melawat kawasan sekitar Kuil Preah Vihear yang terkenal di dunia itu pada Rabu, menurut Kementerian Pertahanan Negara Kemboja.
“Mereka melawat wilayah ini pagi ini untuk memerhati, mengesahkan dan melaporkan perkembangan keadaan selepas gencatan senjata,” kata jurucakap kementerian Maly Socheata pada sidang media.
Dipimpin oleh Malaysia, IOT itu turut disertai atase pertahanan dari Brunei, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam, yang dijadualkan melawat kawasan terjejas konflik di utara Kemboja.
Mereka bertanggungjawab melaporkan keadaan keselamatan di wilayah yang terjejas.
Kemboja terus mendesak pembebasan 18 askarnya yang ditahan Thailand sejak 21 hari lalu, menurut kementerian itu.
Konflik sempadan berkenaan bermula pada pagi 24 Julai dan berakhir selepas campur tangan Malaysia selaku pengerusi Asean, bersama Amerika Syarikat dan China.
Semasa Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Kemboja-Thailand pada 7 Ogos, kedua-dua negara bersetuju dengan perjanjian damai 13 perkara yang termasuk penubuhan IOT.