
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata semua suspek lingkungan 25 hingga 45 tahun itu ditahan dalam operasi pada 4.15 petang hingga 6.10 petang, 13 Ogos.
“Dalam serbuan pertama di pekarangan sebuah kondominium di sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang warga Pakistan dengan pemeriksaan pada tubuh serta kereta suspek menemukan ganja seberat 26.73kg.
“Susulan itu, pemeriksaan di sebuah unit di kondominium berkenaan telah berjaya membongkar stor simpanan pelbagai jenis dadah termasuk bunga ganja, ketamin dan syabu,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Melaka.
Sementara itu, Hussein berkata suspek ketiga yang merupakan warga tempatan pula ditahan di sekitar Ayer Molek, Melaka dan pemeriksaan dalam kereta dipandu menemukan dadah jenis heroin base anggaran berat 18.25kg, di samping pelbagai dadah jenis lain.
“Secara keseluruhan, dadah yang dirampas adalah ganja (94.84kg), ketamin (42.23kg), heroin base (18.25kg), bunga ganja (2.58kg), pil eramin 5 (810g), dan syabu (143g) bernilai kira-kira RM4.16 juta.
“Selain dadah, polis turut menyita sebuah Toyota Estima dianggar RM70,000 serta merampas dua lagi kenderaan, iaitu Perodua Myvi dan Toyota Estima dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM4.23 juta,” katanya.
Hussein berkata, risikan mendapati sindiket telah bergiat aktif sejak April lalu dan jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan 2.815 juta penagih.
Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati seorang daripada tiga suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC), manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Semua suspek direman tujuh hari bermula 14 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.