
Ketua Sekretariat Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Dalam menghadapi PRN Sabah, mesyuarat dimaklumkan mengenai penubuhan jawatankuasa teknikal bagi meneliti aspek kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi, serta Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor.
Anwar berkata, pertemuan yang berlangsung dalam suasana harmoni itu mencerminkan kematangan politik serta iltizam memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Putrajaya dan Sabah.
Pertemuan itu menarik perhatian dalam konteks pembentukan kerjasama menjelang PRN Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Mei lalu, BN dan PH mengumumkan kerjasama untuk menghadapi pilihan raya itu.
Namun pada 27 Julai lalu, Hajiji mengumumkan pula GRS serta PH telah bersetuju membentuk pakatan untuk PRN itu.
Pada 3 Ogos, Anwar dilaporkan berkata perbincangan sedang berlangsung antara BN, GRS dan PH bagi mencapai persefahaman untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN Sabah.
Bagaimanapun, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menegaskan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS dan sebarang pakatan hanya dibentuk selepas PRN terbabit.
Pendirian Bung Moktar itu jika diteruskan bakal menyebabkan pertembungan di antara dua gabungan berkenaan.
Umno Sabah dan GRS sebelum ini bersama dalam kerajaan negeri, namun kerjasama itu runtuh selepas Bung Moktar gagal menyingkirkan Hajiji sebagai ketua menteri pada Januari 2023, dalam satu gerakan dikenali ‘Langkah Kinabalu’.