Malaysia tak pernah tawar eksport nadir bumi mentah kepada AS, kata menteri

Malaysia tak pernah tawar eksport nadir bumi mentah kepada AS, kata menteri

Johari Ghani menegaskan isu eksport REE tidak timbul dalam rundingan tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat.

johari ghani
Johari Ghani berkata kerajaan komited untuk membangunkan industri REE tetapi perlu dibuat berhati-hati. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia tidak pernah menawarkan eksport mentah unsur nadir bumi (REE) dalam rundingan tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Johari Ghani yang menjalankan tugas menteri sumber asli dan kelestarian alam.

Dalam penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, Johari berkata perkara itu turut ditegaskan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, pada 17 Ogos lalu.

Tengku Zafrul mengetuai delegasi rundingan tarif dengan AS yang menyaksikan produk Malaysia dikenakan kadar 19%.

“Ingin saya tegaskan, dalam rundingan tarif perdagangan dengan kerajaan AS, Malaysia tidak pernah menawarkan pengeksportan mentah REE sebagai timbal balas atau syarat bagi pengurangan tarif perdagangan.

“Apatah lagi membekalkan REE secara eksklusif kepada AS. Seperti dimaklumkan Menteri MITI (Tengku Zafrul) pada 17 Ogos, rundingan tarif tidak melibatkan sebarang komitmen membekalkan REE,” kata Johari.

Beliau menjawab isu itu yang dibangkitkan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dalam perbahasan sebelum ini.

Berhubung pembangunan industri REE, Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata kerajaan komited mempercepatkan usaha itu melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.

Jelasnya, setakat ini kerajaan belum membuat sebarang persetujuan dengan mana-mana pihak kerana setiap keputusan perlu diputuskan secara berhati-hati.

Mengulas cadangan penubuhan badan kawal selia seperti Petronas yang dicadangkan beberapa Ahli Parlimen, Johari berkata kerajaan belum berhasrat menubuhkan entiti tunggal seumpamanya.

Berkaitan Perjanjian Paris, Johari memaklumkan Malaysia kekal komited sebagai negara ahli walaupun AS menarik diri daripadanya pada Januari lalu.

“Komitmen Malaysia terhadap Perjanjian Paris bukanlah retorik semata-mata, sebaliknya berlandaskan usaha sedia ada dalam menangani isu perubahan iklim,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.