
Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas ketua polis negara dan Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon masa untuk melengkapkan afidavit balasan yang dibuat ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menurut Berita Harian.
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.
Peguam Kanan Persekutuan Nurul Huda Mohd Salehuddin mewakili Mohd Khalid manakala Mohd Dusuki diwakili Pengarah Pendakwaan Selangor Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Allison Chan.
Terdahulu, pada prosiding pihak mewakili kedua-dua responden mengakui kes itu membabitkan kepentingan awam namun afidavit balasan perlu dibuat dengan teliti dan tanpa tergesa-gesa.
Ia kerana pihak responden kedua perlu berhubung dengan Pengarah Pendakwaan Johor kerana kes terbabit berlaku di sana selain mendapatkan maklumat daripada pakar perunding patologi forensik, ahli kimia dan pegawai penyiasat.
Dalam pada itu, peguam mewakili Ummu Haiman, Naran Singh memohon responden pertama dan kedua supaya menjawab afidavit dalam tempoh seminggu dan gambar bedah siasat pertama.
Tambahnya, mereka sedia menanggung kos bedah siasat terbabit jika diperlukan.
Pada prosiding itu juga, beliau turut memohon peranan terhad daripada pakar perunding patologi forensik Dr Bhupinder Singh dan tidak mencampuri proses bedah siasat.
Bagaimanapun, Kalmizah memohon mahkamah tidak membenarkan permohonan mendapatkan gambar bedah siasat dengan alasan kes masih dalam siasatan.
Bhupindar kemudiannya mengarahkan kedua-dua responden memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada Jumaat ini.
Media sebelum ini melaporkan Ummu Haiman memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya untuk menjalankan bedah siasat kedua.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Ulu Tiram, Johor.
Allahyarham dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.