Korbankan Rodziah demi Tengku Zafrul berisiko tinggi, kata penganalisis

Korbankan Rodziah demi Tengku Zafrul berisiko tinggi, kata penganalisis

Tengku Zafrul Aziz yang berhijrah dari Umno ke PKR dilihat tiada sokongan akar umbi berbanding Rodziah Ismail.

Rodziah Ismail Tengku Zafrul Aziz
Rodziah Ismail mewakili rakyat Parlimen Ampang sejak 2022 dan pernah berkhidmat sebagai exco Selangor selama tiga penggal, manakala tempoh khidmat Tengku Zafrul Aziz sebagai senator akan tamat pada Disember.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpandangan langkah menggugurkan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail pada PRU akan datang demi memberi laluan kepada ahli baharu, Tengku Zafrul Aziz, sebagai berisiko tinggi.

Walaupun Azmi Hassan percaya peluang Rodziah dicalonkan semula sangat tipis — memandangkan beliau dua kali tewas pemilihan ketua Wanita PKR, selain dilihat dalam kes bekas timbalan presiden Rafizi Ramli — mencalonkan Tengku Zafrul bagi kerusi Ampang berisiko kerana beliau boleh dikatakan ‘orang luar’, sama ada dalam parti mahupun di kawasan itu.

Penganalisis di Akademi Nusantara juga percaya kemenangan Rodziah di Ampang pada PRU 2022 kerana mempunyai sokongan akar umbi sendiri.

“Jadi, meletakkan Tengku Zafrul akan menjadi satu pertaruhan yang sangat besar, sama seperti ketika beliau berada dalam Umno Kota Raja — Tengku Zafrul tiada sokongan akar umbi,” kata Azmi kepada FMT. “Beliau tidak dihormati ahli Umno dan saya rasa perkara sama akan berlaku (dalam PKR); sokongan akar umbi sangat penting di Ampang.”

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia mempersoalkan kebijaksanaan mengambil risiko menggantikan Rodziah yang terbukti berkhidmat dengan baik untuk warga Ampang dengan Tengku Zafrul.

Fauzi berkata Tengku Zafrul tidak akan mempunyai peluang dan masa yang cukup untuk membina hubungan dan rangkaian dengan warga Ampang sebelum PRU16, manakala kedudukan Rodziah sudah pun kukuh.

Beliau juga menyifatkan Tengku Zafrul sebagai “orang politik yang tidak dikenali” meskipun berada dalam Umno sejak 1997, dan hanya mula dikenali selepas dipilih sebagai menteri kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin pada 2020.

“Jadi apa yang latar belakang ini beritahu kita tentang minat beliau dalam politik? Ia tercetus disebabkan peluang untuk berada dalam Jemaah Menteri, bukan kerana keprihatinan tulen terhadap kesusahan golongan bawahan,” kata Fauzi.

“Memandangkan beliau membina kerjaya dalam industri perbankan sebagai eksekutif yang berkuasa pada usia muda, sudah pasti ia akan mengambil sedikit masa sebelum beliau menjadi seorang ahli politik yang benar-benar sebati dengan rakyat yang diwakilinya.”

Pada PRU 2022, Rodziah dipindahkan dari DUN Batu Tiga di Shah Alam untuk merampas Ampang daripada Zuraida Kamaruddin, yang memenangi kerusi itu ketika bersama PKR sebelum menyertai Bersatu dan kemudiannya Parti Bangsa Malaysia.

Pada Februari, sumber memberitahu FMT bahawa Tengku Zafrul dijangka bertanding di Selangor pada PRU seterusnya, dengan Ampang dikatakan pilihan utama, manakala Petaling Jaya dan Pandan sebagai kemungkinan lain.

Awal bulan ini, PKR mengesahkan Tengku Zafrul menyertainya sebagai ahli bahagian Ampang selepas beliau keluar Umno.

Rodziah mengumumkan kesediaan memberi laluan kepada calon PKR lain di Ampang pada PRU16, namun berharap dapat berkhidmat sehingga tamat penggal.

Azmi percaya PKR tidak akan cuba paksa pilihan raya kecil diadakan supaya Tengku Zafrul boleh menduduki kerusi Parlimen dan kekal sebagai menteri. Tempoh beliau sebagai senator akan tamat pada Disember.

“Sukar untuk memaksa pilihan raya kecil kerana Rodziah pasti tidak akan berundur secara sukarela,” katanya.

Fauzi pula percaya spekulasi ini ditiup untuk menguji penerimaan di Ampang, bagi melihat sama ada idea mencalonkan Tengku Zafrul bagi menggantikan Rodziah baik atau tidak.

“Kita masih ada kira-kira dua tahun lagi sebelum PRU16, jadi ada masa yang mencukupi untuk pakar strategi parti menilai sentimen di lapangan.”

Jangan gugur Rodziah sama sekali

Fauzi berkata PKR tidak seharusnya menggugurkan Rodziah daripada senarai calon PRU16 memandangkan beliau telah berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak 2008 dengan pengikut sendiri, dan mempertimbangkan untuk mencalonkan beliau di kerusi lain yang boleh dimenangi.

Beliau berkata bekas exco Selangor itu memenangi setiap pilihan raya dengan majoriti lebih daripada 3,000 undi. Rodziah berkhidmat tiga penggal sebagai Adun Batu Tiga dari 2008 hingga 2023 dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Ampang pada 2022.

“Memandangkan beliau berumur 61 tahun, dia mempunyai empat hingga lima tahun yang baik di hadapannya, jika dilihat dari jangka hayat ahli politik Malaysia,” katanya, sambil menambah pembabitan beliau dengan Rafizi hanya meningkatkan kredibilitinya.

“Sebagai seorang ahli politik wanita dengan perwatakan yang kuat, kehadirannya dalam hierarki tertinggi Wanita PKR menguatkan profil kepimpinan parti, meskipun beliau berpihak pada kem Rafizi.”

Azmi bagaimanapun tidak bersetuju. Beliau berkata Rodziah dilihat umpama ‘duri dalam daging’ seperti Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad, maka beliau tidak hairan jika dia digugurkan pada PRU akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.