
Perkara itu disahkan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan pendakwaan akan diteruskan seperti biasa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025).
“We will proceed (kita akan teruskan),” katanya menurut Harian Metro.
Terdahulu, peguam kepada keluarga pelajar Tingkatan 1 itu merayu peguam negara menangguhkan tuduhan terhadap lima remaja perempuan berusia bawah 18 tahun terbabit.
Peguam Hamid Ismail berkata, pihaknya memohon penangguhan sementara bagi membolehkan tuduhan lebih berat dikenakan terhadap semua suspek susulan dimaklumkan lima remaja berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli.
“Kami berharap mereka dituduh bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat. Jika keterangan sedia ada belum mencukupi, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi membolehkan pendakwaan dijalankan mengikut peruntukan itu,” katanya dalam kenyataan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 507C (1) memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hamid berkata, jika pendakwaan bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, sebarang penemuan baharu hasil inkues atau siasatan lanjut tidak lagi boleh digunakan untuk mendakwa mereka dengan kesalahan lebih berat.
“Kami sangat khuatir jika pendakwaan diteruskan, perkara ini akan terhalang oleh prinsip ‘double jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Semalam, Dusuki dilaporkan berkata, lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok bagi kesalahan membuli.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues kes kematian Zara ditetapkan bermula 3 Sept ini.
Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai koroner menetapkan tarikh prosiding pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept dan 22 hingga 30 Sept.
Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.