
Peguam keluarga Smit, Sankara Nair, berkata notis itu difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam bagi pihak defendan – ketua polis negara, pegawai penyiasat Faizal Abdullah, menteri dalam negeri, dan kerajaan.
“Firma kami akan terus bertindak bagi pihak (ibu Smit) Christina Caroline Gerarda Johanna Verstappen dalam mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi, dan kami kekal komited memastikan keadilan ditegakkan secara telus dan tegas,” kata Nair dalam kenyataan.
Pada 29 Julai, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi am RM500,000 kepada keluarga Smit dan RM600,000 sebagai ganti rugi teruk serta teladan, berserta kos RM100,000.
Hakim Roz Mawar Rozain berkata, Faizal ‘sewenang-wenangnya mengklasifikasikan kematian Smit sebagai bunuh diri’ walaupun terdapat bukti keadaan sekeliling yang menunjukkan kemungkinan berlakunya kes bunuh.
Mahkamah juga mendapati juga tiada tindakan segera diambil menahan suspek Alex Johnson dan isterinya, Luna Almaz, selepas laporan forensik menyatakan DNA lelaki itu ditemui di bawah kuku Smit.
Menurut Roz Mawar, Faizal mengaitkan kewujudan DNA Johnson itu dengan aktiviti seksual bersama si mati.
Mahkamah juga mengambil maklum bahawa satu lagi Mahkamah Tinggi lain telah mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mengarahkan polis menjalankan siasatan berhubung punca kematian Smit pada 2019.
Walaupun terdapat arahan kehakiman, defendan gagal mematuhi perintah itu dengan sewajarnya, kata Roz Mawar.
Beliau juga menyatakan satu pasukan petugas, yang turut melibatkan pegawai penyiasat, telah ditubuhkan untuk menyiasat kematian si mati. “Namun, siasatan itu kekal terbantut sejak 2019.”
Verstappen memfailkan saman bagi pihak keluarga pada 2020.
Smit, berusia 18 tahun, ditemui mati di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Dis 2017 selepas jatuh dari sebuah unit di tingkat 20.
Siasatan inkues dijalankan pada 2018 memutuskan kematiannya adalah satu ‘kemalangan malang’.
Namun, selepas semakan, mahkamah memutuskan kematian Smit berpunca daripada ‘individu dikenali atau tidak dikenali’.