Bicara kes terowong Guan Eng tangguh, saksi tak dapat beri keterangan

Bicara kes terowong Guan Eng tangguh, saksi tak dapat beri keterangan

G Gnanaraja berkata beliau masih trauma susulan kejadian rompakan.

G Gnanaraja
Ahli perniagaan G Gnanaraja, berkata mahu jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa.
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi kes perbicaraan terowong dasar laut melibatkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa tidak dapat memberi keterangan kerana mengalami trauma selepas diserang 10 lelaki dalam kejadian rompakan bersenjata, awal bulan ini.

Ahli perniagaan G Gnanaraja, berkata beliau masih dalam proses pemulihan akibat kejadian tersebut.

“Saya masih trauma. Bukan saya tidak mahu bekerjasama (dengan mahkamah), tetapi saya mahu memastikan jaminan keselamatan saya terlebih dahulu,” katanya.

Hakim Azura Alwi, berkata adalah menjadi tanggungjawab polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan segala termampu bagi memastikan keselamatan Gnanaraja.

Timbalan pendakwa raya, Mahadi Abdul Jumaat, kemudian memaklumkan kepada mahkamah memandangkan Gnanaraja tidak berada dalam keadaan mental stabil, pihak pendakwaan akan memanggil pegawai penyiasat, Zulhilmi Ramli, sebagai saksi seterusnya.

Perbicaraan akan bersambung pada 27 Ogos.

Lim berdepan perbicaraan atas pertuduhan guna kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut daripada Zarul Ahmad Zulkifli serta menerima RM3.3 juta sebagai rasuah antara 2011 dan 2017 daripada ahli perniagaan itu.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan salah guna harta secara tidak jujur melibatkan tanah kerajaan bernilai RM208.7 juta.

Pada 7 Ogos, Gnanaraja yang juga saksi utama perbicaraan, mengalami kecederaan pada muka dan tangannya selepas diserang 10 lelaki di rumahnya.

Beberapa barangan berharga turut dilarikan dalam rompakan bersenjata itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.