Mahkamah perintah Caprice arkib 31 hantaran terhadap Asyraf Khalid

Mahkamah perintah Caprice arkib 31 hantaran terhadap Asyraf Khalid

Mahkamah Tinggi KL membenarkan permohonan injunksi ad-interim secara ex-parte dalam saman difailkan Asyraf Khalid terhadap Ariz Ramli.

Mahkamah Tinggi KL perintah Caprice arkib 31 hantaran terhadap seorang usahawan, Asyraf Khalid, di Instagram.
PETALING JAYA:
Mahkamah memerintahkan pempengaruh, Ariz Ramli, mengarkibkan 31 hantaran terhadap usahawan, Muhammad Asyraf Khalid, yang dimuat naik di Instagram.

Hakim Anand Ponnudurai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan perkara itu selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim secara ex-parte dalam saman difailkan Asyraf terhadap Ariz, 39, yang lebih dikenali dengan nama Caprice, menurut peguam Asyraf, Abdul Hakeem Aiman.

Asyraf anak kepada usahawan, Khalid Mohammad Jiwa, dan anak tiri Biduanita Negara Siti Nurhaliza Tarudin.

“Segala penerbitan yang dikeluarkan oleh defendan (Caprice) berkaitan atau merujuk kepada plaintif (Asyraf) hendaklah diarkibkan bermula hari ini sehingga pelupusan permohonan injunksi secara inter-parte (dua pihak) yang akan didengar 2 Sept,” kata Hakeem lapor Bernama.

Asyraf, 33, memfailkan saman pada 4 Ogos lepas dengan mendakwa Caprice menerbitkan 31 hantaran yang didakwa berbaur fitnah terhadap plaintif di akaun Instagram miliknya, sekitar 30 Julai hingga 2 Ogos lepas.

Plaintif mendakwa hantaran itu antaranya membawa maksud plaintif seorang yang memalukan kerana mengundang jurulatih peribadinya, Murad Zaidi, dalam suatu audio siar, untuk memberi ruang kepada lelaki itu membela diri menerusi media sosial berhubung suatu dakwaan.

Asyraf berkata hantaran itu juga membawa maksud plaintif telah menyalahgunakan wang, kuasa, pengaruh serta hubungan kekeluargaan kononnya untuk memerangkap defendan.

Menurutnya, beliau membuat keputusan untuk tidak menyiarkan episod penuh Murad seperti yang Caprice mahukan, namun Caprice masih menyerangnya.

Tindakan Caprice, katanya, menyebabkan beliau dihina serta dibenci oleh orang ramai selain mengheret bapanya dalam pertikaian itu dan memberi gambaran tidak benar serta memalukan.

Sehubungan itu, Asyraf memohon injuksi untuk menghalang Caprice, pekerja, wakil atau ejennya menerbitkan, mengedar, menyebar atau mengulangi hantaran-hantaran fitnah sama ada secara lisan atau bertulis terhadapnya melalui mana-mana platform media sosial, serta memadam hantaran tersebut di mana-mana platform media sosial dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

Plaintif juga memohon defendan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi video dan diterbitkan dalam semua akaun media sosial milik defendan, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Hakeem berkata defendan masih belum memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab tuntutan saman itu, setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.