
Wakil rakyat Kunak, Norazlinah Arif, berkata berbeza dengan Warisan yang ‘menjaja’ perjuangan berkenaan sebagai retorik politik, tidak banyak kemajuan dicapainya dalam aspek terbabit sepanjang mentadbir dari Mei 2018 hingga September 2020.
Beliau memberi contoh dakwaan pentadbiran Warisan berjaya menyelesaikan 17 daripada 21 perkara bawah MA63 sebenarnya hanya berada pada peringkat dipersetujui, seperti dijelaskan Menteri Armizan Mohd Ali pada Julai 2023.
Armizan ketika itu memegang portfolio hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas.

“Hari ini kita melihat kerajaan GRS yang jarang menggunakan MA63 sebagai modal politik, tetapi berjaya mencapai perkembangan positif seperti peningkatan bayaran interim daripada RM26 juta kepada RM125 juta, RM300 juta dan kini RM600 juta.
“Saya yakin kalau GRS terus diberi peluang mentadbir, lebih banyak hak akan dikembalikan seperti kawal selia bekalan gas dan elektrik yang kini diurus kerajaan Sabah,” kata bekas ketua Wanita Warisan dalam temu bual dengan FMT.
Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan MA63 yang dicapai hasil rundingan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak.
Selain pemberian khas ditingkatkan kepada RM600 juta serta kawal selia bekalan gas dan elektrik, penyelesaian lain termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Sarawak sebagai Jabatan Teknik bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Turut dimuktamadkan ialah pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN, pentadbiran badan kehakiman, serta penyediaan garis panduan khas penyerahan semula tanah yang dirizabkan bagi maksud Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Keputusan berhubung tuntutan 40% hasil Sabah seperti termaktub dalam MA63 dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia 16 Sept ini.

Sementara itu, Adun Banggi Mohammad Mohamarin, mendakwa pelaksanaan MA63 tidak banyak dibincangkan bekas partinya, menimbulkan persoalan mengenai komitmen Warisan dalam merealisasikan tuntutan berkenaan.
Dakwanya, tidak banyak perbincangan mengenai usaha memperjuangkan tuntutan MA63 dibuat pimpinan Warisan dalam pertemuan dengan wakil rakyat parti menjelang sidang DUN Sabah.
“Tetapi bawah GRS, Ketua Menteri Hajiji Noor setiap kali menjelang sidang DUN Sabah banyak menyentuh perkara berkenaan.
“Contohnya, beliau menjelaskan usaha meminda atau memperkenalkan enakmen berkaitan MA63 dan bagaimana mendapatkan hak,” kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Warisan itu.