Ratusan hadiri himpunan ‘Demi Zara’ di Sogo

Ratusan hadiri himpunan ‘Demi Zara’ di Sogo

Peserta hadir memakai baju berwarna hitam dan memegang sepanduk dengan mesej 'Justice for Zara' dan 'hentikan buli'.

Justice for Zara Qairina
Peserta membawa sepanduk ‘Justice for Zara’ dan ‘stop bullying’ di himpunan ‘Demi Zara’ di hadapan kompleks beli-belah Sogo malam tadi.
KUALA LUMPUR:
Ratusan peserta berhimpun di hadapan kompleks beli-belah Sogo malam ini bagi menunjukkan solidariti dan menuntut keadilan atas kematian pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir.

Polis menganggarkan himpunan ‘Demi Zara’ itu dihadiri kira-kira 150 hingga 200 peserta.

Majoriti peserta hadir memakai baju berwarna hitam dan memegang sepanduk dengan mesej ‘Justice for Zara’ dan ‘hentikan buli’.

Himpunan dianjurkan gabungan kira-kira 100 NGO Melayu dan Islam sebagai kesinambungan sokongan moral serta solidariti kepada keluarga Zara Qairina.

Penganjur juga mendesak keadilan sehingga ke peringkat tertinggi untuk pelajar berusia 13 tahun itu.

Beberapa pemimpin NGO juga dilihat berucap dalam himpunan yang berlangsung selama tiga jam berakhir pada 11 malam.

Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Dia meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.

Ibunya, Noraidah Lamat membuat laporan polis pada 3 Ogos selepas memaklumkan ternampak kesan lebam di bahagian belakang badan anaknya semasa proses memandikan jenazah sebelum dikebumikan.

Minggu lalu, polis menggali semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dijalankan terhadap jenazahnya susulan dakwaan mangsa dibuli.

Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian mengarahkan diadakan inkues bagi menyiasat punca kematian Zara.

AGC berkata, inkues yang dijalankan oleh mahkamah koroner bertujuan menentukan punca dan sebab kematian Zara, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah.

Pada hari sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata pegawai penyiasat yang mengendalikan kes kematian Zara gagal mematuhi prosedur yang betul apabila tidak memohon bedah siasat.

Beliau berkata, kematian itu berlaku dalam keadaan yang mencurigakan dan bedah siasat sepatutnya dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.