
Beliau berkata, saman itu dibawa secara peribadi oleh Waytha, yang juga presiden Parti Kemajuan Malaysia.
“Sebagai rakyat Malaysia kita menghormati dia punya hak membawa ini ke mahkamah dan biar mahkamah tentukan,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat.
Dua hari lalu, Ahli Parlimen Bangi daripada Pakatan Harapan (PH), Syahredzan Johan, mempersoalkan sama ada saman difailkan Waytha mempunyai kaitan dengan pertemuan terbarunya bersama pemimpin Bersatu.
Waytha, bersama sekumpulan pemimpin parti politik lain di luar blok kerajaan, telah bertemu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bagi membincangkan pembentukan barisan pembangkang bersatu.
Waytha memohon pengisytiharan Anwar sepatutnya tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen Tambun pada November 2022 dan dilantik perdana menteri.
Syahredzan berkata, meskipun sesiapa sahaja mempunyai hak memfailkan prosiding mahkamah, saman terhadap Anwar itu dilihat ‘remeh dan menyusahkan’ memandangkan beliau telah menjadi perdana menteri hampir tiga tahun.
Beliau juga menyatakan, Waytha sebelum ini pernah memuji Anwar merangkap pengerusi PH, sebagai individu terbaik mengetuai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, berkata tindakan Waytha itu telah luput tempoh, memandangkan petisyen mencabar keputusan pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mesti difailkan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan berkenaan diwartakan.