
Susulan itu, beliau mengeluarkan arahan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail supaya bertindak segera untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
Anwar berkata, kedua-duanya memberi jaminan untuk bertindak segera dan telus.
“Bukan sahaja ambil tindakan tetapi menghentikan budaya jahat ini,” katanya di Dewan Rakyat.
Rafizi memaklumkan anak lelakinya diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira 1.45 tengah hari semalam.
Menurutnya, ketika anak dan isterinya hendak memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu, dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup seluruh muka mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.
Kanak-kanak itu dilaporkan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia untuk rawatan.
Rafizi berkata sepanjang menjadi ahli politik berprofil awam, ini kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan.
Beliau juga percaya serangan itu merupakan amaran kepadanya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu.