Penjawat awam paling ramai ditahan terima rasuah dalam sedekad lalu

Penjawat awam paling ramai ditahan terima rasuah dalam sedekad lalu

Menteri undang-undang Azalina Othman Said berkata, 2,965 penjawat awam ditahan kerana terima rasuah dalam tempoh itu.

rasuah money
Majoriti individu yang diberkas bagi kesalahan beri dan terima rasuah dalam tempoh sedekad lalu terdiri daripada individu berusia 40 tahun dan ke bawah, menurut Azalina Othman Said.
PETALING JAYA:
Golongan penjawat awam mendominasi statistik tangkapan bagi kesalahan menerima rasuah antara 2015 hingga Jun tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Memetik statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, 2,965 penjawat awam diberkas atas kesalahan menerima rasuah sepanjang sedekad lalu.

Sebagai perbandingan, 1,101 individu daripada sektor swasta turut ditahan atas kesalahan serupa, diikuti oleh orang awam (680), kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) (119) dan 31 ahli politik.

Bagaimanapun, katanya, bagi kesalahan memberi rasuah, orang awam mencatatkan angka tangkapan tertinggi, iaitu seramai 1,061 orang, diikuti oleh sektor swasta (511), syarikat berkaitan kerajaan (64), penjawat awam (47) dan ahli politik (enam).

Majoriti individu yang diberkas bagi kedua-dua kesalahan tersebut adalah mereka yang berusia 40 tahun dan ke bawah, kata Azalina menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang memohon perincian mengenai pecahan tangkapan kes rasuah bagi tempoh 10 tahun lalu.

Pada November lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mendedahkan, kira-kira 44% daripada tangkapan oleh agensi itu terdiri daripada penjawat awam.

Menurut Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) awal tahun ini, terdapat penjawat awam yang terpaksa menerima suapan disebabkan tekanan pihak tertentu.

Perkara itu didedahkan oleh setiausaha agungnya, Abdul Rahman Nordin ketika mengulas skor Malaysia yang kekal pada 50 mata dan ranking ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.