
Saman itu membabitkan dakwaan Rafizi yang Ahli Parlimen Kubang Kerian terbabit telah ‘meluluskan’ projek bernilai RM2 bilion selepas pembubaran Parlimen pada 2022.
Peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustapha, berkata perbicaraan dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Sept dan 29 hingga 30 Sept.
“Perbicaraan akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill,” katanya selepas pengurusan kes hari ini.
Peguam Yusfarizal Yussoff hadir mewakili Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim memfailkan saman itu dengan mendakwa Rafizi telah memfitnahnya dengan menyatakan beliau meluluskan penganugerahan projek mitigasi banjir bernilai RM2 bilion kepada sebuah syarikat berkaitan Umno selepas pembubaran Parlimen.
Rafizi mendakwa projek benteng Sungai Langat adalah kontrak kedua yang dianugerahkan kepada syarikat sama dalam tempoh enam bulan.
Tuan Ibrahim menafikan dakwaan tersebut dan mencabar Rafizi untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau turut menegaskan kerajaan sementara tidak boleh meluluskan sebarang peruntukan kewangan kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.