Shafie gesa SPR tegaskan larangan telefon di pusat mengundi

Shafie gesa SPR tegaskan larangan telefon di pusat mengundi

Shafie Apdal antaranya meminta jumlah orang telah disiasat atau didakwa dalam kes penggunaan telefon bimbit di pusat mengundi.

Presiden Warisan Shafie Apdal membangkitkan isu larangan penggunaan telefon bimbit di pusat mengundi pada perbahasan RMK13.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menekankan penguatkuasaan larangan penggunaan telefon bimbit di pusat mengundi berkuat kuasa pada PRU15 dan PRN enam negeri lalu.

Presiden Warisan berkata, mengikut arahan itu pengundi membawa telefon bimbit perlu meletakkan peranti di tempat disediakan selepas menerima kertas undi dan mengambilnya usai pengundian.

Beliau juga mempersoalkan sama ada SPR bercadang mewajibkan telefon diletakkan terlebih dahulu di tempat yang disediakan sebelum atau selepas menerima kertas undi.

“Setakat ini, berapa ramai yang telah disiasat dan didakwa atas kesalahan ini?

“Adakah kerajaan bercadang meletakkan kesalahan menggunakan telefon bimbit di tempat mengundi di dalam pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954?,” katanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dalam ucapannya juga, Shafie turut meminta potensi besar Sabah dimanfaatkan dengan memberi sokongan sebaiknya mengikut keutamaan dan disokong pelbagai inisiatif.

Menurut bekas ketua menteri Sabah, usaha perlu dibuat bagi mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap eksport komoditi mentah dengan memperkasa sektor pembuatan serta perindustrian.

“Ia boleh diperkasa dengan menambah nilai dan meningkatkan pelaburan dalam industri hiliran (kelapa sawit, gas asli dan koko).

“Perlu juga pembabitan syarikat kerajaan negeri (GLC) yang lebih bersepadu dalam kilang penapisan, bio-komposit dan ekonomi kitaran dan penciptaan kluster perindustrian bagi menarik pelabur asing serta domestik,” katanya.

Beliau juga berharap sektor perladangan dan pertanian ditingkatkan menerusi pemodenan serta penggunaan teknologi tinggi serta terkini.

“Kaedah baru dalam menarik minat golongan belia dan paling penting meyakinkan mereka kelestarian pendapatan hasil daripada pertanian atau penternakan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan keperluan Sabah untuk mempunyai lebih daripada satu lapangan terbang antarabangsa untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

“Sabah perlu lebih daripada satu lapangan terbang antarabangsa dan Tawau perlu segera diiktiraf,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.