Polis nasihat orang ramai jangan berhimpun di Kepala Batas esok

Polis nasihat orang ramai jangan berhimpun di Kepala Batas esok

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata ia bertujuan bagi menjamin keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam.

jalur gemilang terbalik
Semalam pemilik kedai perkakasan Pang Chin Tian yang tular mengibar Jalur Gemilang terbalik berkata beliau bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.
GEORGE TOWN:
Polis Pulau Pinang menasihatkan orang ramai tidak menyertai perhimpunan di kawasan kedai perkakasan di Kepala Batas esok, yang sebelum ini tular di media sosial kerana mengibarkan Jalur Gemilang terbalik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata ia bertujuan bagi menjamin keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam.

“Polis menggesa semua pihak bersabar menunggu keputusan pejabat pendakwa raya (berhubung arahan selanjutnya siasatan kes itu) dan tidak mengambil tindakan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk ketegangan.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau melakukan pecah keamanan, kekacauan, huru-hara atau jenayah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini tular di media sosial mengenai jemputan untuk orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.

Sementara itu, Azizee berkata sebanyak 38 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan kes berkenaan selain siasatan turut dijalankan ke atas individu yang merakam dan menyebarkan video itu bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, pemilik kedai perkakasan itu Pang Chin Tian, 59, yang tular mengibar Jalur Gemilang terbalik berkata beliau bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.

Dia mengakui kesilapan itu tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku pada Sabtu lalu serta berjanji akan lebih berhati-hati dalam pemasangan Jalur Gemilang selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.