Pegawai kanan dalang sindiket penyeludupan, ATM beri kerjasama penuh

Pegawai kanan dalang sindiket penyeludupan, ATM beri kerjasama penuh

Panglima Angkatan Tentera Mohd Nizam Jaffar berkata ATM juga tidak akan sembunyi perkara itu dan mahu siasatan terperinci dijalankan.

atm seludup
SPRM menahan lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam disyaki terbabit sindiket penyeludupan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dalam operasi, pagi tadi.
PETALING JAYA:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket penyeludupan didalangi beberapa pegawai kanan pasukan itu yang dipercayai telah memperoleh rasuah lebih RM3 juta.

Panglima Angkatan Tentera Mohd Nizam Jaffar berkata ATM juga tidak akan menyembunyikan perkara itu dan akan mendedahkan jumlah anggotanya yang ditahan, lapor Berita Harian.

“Kami akan memberi kerjasama sebaiknya dan Insya-Allah, bilangan sebenar yang ditahan membabitkan pegawai ATM akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Kami tidak akan merahsiakannya, biar perkara ini disiasat dengan terperinci,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Terdahulu hari ini, SPRM menahan lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun di sekitar Lembah Klang dalam Ops Sohor yang dilancarkan pada jam 6.30 pagi tadi.

Menurut sumber, pegawai-pegawai kanan itu adalah daripada bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM daripada bahagian yang sama.

Kata sumber, pegawai itu ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, namun mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun yang lalu dan disyaki mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.

Siasatan awal mendapati lima pegawai kanan yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket.

Sindiket itu membawa masuk barangan larangan seperti dadah, rokok serta barang-barang lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah nilai sebanyak kira-kira RM5 juta sebulan.

“Suspek-suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan yang dijalankan,” kata sumber.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.