
Ketua Pegawai Eksekutif C4 Pushpan Murugiah berkata Akta SPRM 2009 hanya memperuntukkan peranan penasihat kepada lembaga itu bukan kuasa pemantauan.
Menurut Pushpan, kelemahan ini dilihat ketara dalam menangani isu pegangan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
“Walaupun dalam keadaan lembaga mendesak perubahan dalam SPRM, pelaksanaan cadangan itu terletak sepenuhnya pada budi bicara SPRM dan ketua pesuruhjayanya, menyebabkan lembaga tidak mampu mengarahkan sebarang perubahan sebenar.
“Enam ahli lembaga secara terbuka menggesa siasatan bebas dan telus berhubung skandal saham itu, namun LPPR sendiri tidak mempunyai kuasa menjalankan siasatan,” katanya kepada FMT.
Pushpan turut bimbang ketua pesuruhjaya SPRM boleh mempengaruhi keputusan lembaga kerana beliau menjadi ahli ex-officio di bawah Akta SPRM, sekali gus menjejaskan kebebasan LPPR.
Beliau menggesa Akta SPRM disemak semula supaya LPPR diberi kuasa lebih besar dan berfungsi sebagai pemantauan telus terhadap agensi antirasuah terbabit.
Pengerusi C4 Edmund Terence Gomez pula berkata episod pegangan saham itu menimbulkan banyak persoalan mengenai kuasa LPPR untuk memastikan SPRM bertanggungjawab.
Menurut Gomez, lembaga itu mempunyai kuasa terhad untuk menyoal ketua SPRM, manakala isu terbabit turut mendedahkan kelemahan dalam struktur.
Beliau mencadangkan pelantikan ahli lembaga dibuat dengan lebih telus, dengan kriteria yang jelas diperuntukkan dalam undang-undang.
“Akhirnya, ketua SPRM tidak perlu menjawab tuduhan terhadapnya,” katanya.
Gomez pernah meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan dan pencegahan rasuah SPRM pada Disember 2021 sebagai tanda protes terhadap keengganan lembaga membincangkan kes Azam. Beliau dilantik ke jawatan itu pada 2020.
Pada Januari 2022, LPPR membebaskan Azam daripada sebarang salah laku berhubung pembelian saham korporat selepas beliau menjelaskan akaun sahamnya digunakan oleh abangnya untuk membeli saham yang beliau tiada kepentingan kewangan.
Enam ahli lembaga menjauhkan diri daripada keputusan pengerusi ketika itu, Abu Zahar Ujang yang didakwa memberi pandagan peribadi berkait isu itu.
Minggu lalu, SPRM mengumumkan pelantikan enam individu ke dalam LPPR bagi tempoh tiga tahun, termasuk bekas presiden Transparency International Malaysia, Akhbar Satar.