Hina Nabi Muhammad di Facebook, pengawal keselamatan didenda RM5,000

Hina Nabi Muhammad di Facebook, pengawal keselamatan didenda RM5,000

Ramesh Muniandy mengaku bersalah atas kesalahan itu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

kl high court
Pegawai pendakwa SKMM Farhan Kamarudin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan terhadap Ramesh Muniandy, yang telah membuat ‘dakwaan tidak berasas’ mengenai Nabi Muhammad.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang pengawal keselamatan kerana menghina Nabi Muhammad di Facebook.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Ramesh Muniandy, yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika gagal menjelaskan denda, dia diarahkan menjalani hukuman penjara lima bulan.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai Jabatan Kemajukan Islam Malaysia membaca komen Facebook dari akaun berhubung Nabi Muhammad pada 15 April lalu.

Pegawai itu kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang menyerbu tempat kerja Ramesh di Perak, mengambil telefon bimbit dan kad SIM miliknya.

Semasa mitigasi, peguam Ramesh P Chandra Segaran menggesa mahkamah mengenakan denda minimum dengan alasan anak guamnya menyesali tindakannya dan mahu memohon maaf kepada mahkamah serta mereka yang tersinggung dengan komennya.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa SKMM Farhan Kamarudin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan terhadap Ramesh, yang menurutnya telah membuat ‘dakwaan tidak berasas’ mengenai Nabi Muhammad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.