
Menurut sumber, ia merupakan lantikan pesuruhjaya kehakiman terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bertujuan menyelesaikan tunggakan kes, terutamanya di Lembah Klang.
Abdul Fareed Abdul Gafoor, berkhidmat sebagai presiden Badan Peguam antara 2019 dan 2020, akan menyertai 14 peguam lain.
Mereka adalah J Kuldeep Kumar, Adam @ Edward Abdullah, Isa Aziz Ibrahim, Seow Hock Peng, Shahriza Zalina Abdul Shukor, Helmi Hamzah, Rajes Raghavji, Aimi Zainal Azhar, Samry Masri, Moh Kok Wai, Shamsul Bahrin Abdul Manaf, S Kalyana Kumar, Avinder Singh Gill, dan D Shoba Rajah.
Kuldeep menjadi sebahagian pasukan peguam bela mewakili Azilah Hadri, seorang daripada dua bekas pegawai Unit Tindakan Khas disabitkan kesalahan membunuh Altantuya, pada 2006.
Tahun lalu, Kuldeep juga telah membantu dalam prosiding rayuan mengurangkan hukuman mati Azilah kepada hukuman penjara maksimum 40 tahun di hadapan panel khas Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, lapan lagi calon dilantik berasal daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan.
Mereka termasuk Donald Joseph Franklin, ketua Bahagian Sivil di Jabatan Peguam Negara (AGC); Syed Faisal Syed Amir, timbalan ketua Bahagian Pendakwaan; dan Asmah Musa, ketua Unit Rayuan AGC.
Yang lain adalah Anita Harun, ketua lembaga penasihat di Jabatan Perdana Menteri; Darmafikri Abu Adam, pengarah mahkamah di Negeri Sembilan; serta pegawai kanan Mahkamah Persekutuan, Manira Nor, Noradura Hamzah, dan Edwin Paramjothy.
Seramai 23 calon itu dijangka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Azizah Nawawi.
Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan hadir menyaksikan majlis berkenaan.
Minggu lalu, beliau berkata badan kehakiman akan berusaha menyelesaikan tunggakan kes mahkamah, dan sedang bekerjasama dengan kerajaan menambah bilangan bilik mahkamah serta melantik menambah pelantikan pesuruhjaya kehakiman.
Beliau berkata, hakim litar dan pesuruhjaya kehakiman akan ditugaskan di pelbagai lokasi untuk mendengar kes lama dan menyelesaikannya dalam tempoh ditetapkan.
Semua calon akan dilantik itu dijangka membantu 78 Hakim Mahkamah Tinggi dan 13 pesuruhjaya kehakiman sedia ada di seluruh negara bagi mendengar kes tertunggak.