Bedah siasat tak jumpa kesan dera akibat buli, Khaled ulas kematian pelatih Palapes

Bedah siasat tak jumpa kesan dera akibat buli, Khaled ulas kematian pelatih Palapes

Menteri pertahanan berkata semua siasatan mengikut SOP pihak berkuasa dan semua bantuan awal kepada mangsa juga diberikan semasa kejadian.

Syamsul Haris Shamsudin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata bedah siasat ke atas Syamsul Haris Shamsudin, 22, tidak mengesan kecederaan akibat penderaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata tiada sebarang kecederaan pada tubuh pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan sebelum ini.

Katanya, bedah siasat tidak mengesan kecederaan akibat penderaan.

Beliau berkata, semua keterangan saksi juga telah pun diambil termasuk jurulatih dan pelatih yang terlibat dalam latihan itu.

“Hasil keseluruhan ‘post mortem’ akan diketahui dalam masa dua bulan.

“Namun, apa yang saya boleh katakan semua siasatan mengikut SOP pihak berkuasa dan semua bantuan awal kepada mangsa juga diberikan semasa kejadian,” katanya menurut Utusan Malaysia di Kuala Lumpur.

Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) di Johor.

Pada 11 Ogos, ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Katanya, permohonan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak, lapor Harian Metro.

Dia mendakwa kematian anaknya bukan disebabkan sawan seperti dimaklumkan kerana terdapat kecederaan teruk serta pendarahan pada tubuh badan, selain mendakwa hanya dibenar melihat jasad anaknya dari satu sudut dan tidak dibenar memusingkan badan untuk pemeriksaan keseluruhan badan.

Semalam, Ummu Haiman seperti dilaporkan Berita Harian, memberitahu anaknya ada memaklumkan ‘ada orang tidak berpuas hati dengannya’, malah ada yang memanggilnya ‘Gopal’ bagi tujuan provokasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.