
Bekas menteri ekonomi berkata, sepanjang menjadi ahli politik berprofil awam, ini kali pertama keluarganya menjadi sasaran serangan dan ugutan.
Katanya, sekitar 1.45 tengah hari tadi ketika anak dan isterinya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.
“Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya. Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal.
“Serangan itu melibatkan dua orang lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya. Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, dilaporkan anak Ahli Parlimen Pandan itu diserang dan kini bawah pemantauan hospital.
Sementara itu, Rafizi berkata anaknya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia untuk rawatan.
Katanya, polis juga berada di tempat kejadian sejurus insiden tersebut.
“Saya dan keluarga telah pun memberi kenyataan kepada polis. Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh polis dan Hospital UPM,” katanya.
Rafizi mengucapkan terima kasih kepada polis dan hospital yang membantu keluargaya melalui kejadian itu.