45 tan beras disyaki diseludup dirampas di Gerik

45 tan beras disyaki diseludup dirampas di Gerik

Pihak berkuasa mendapati pemandu gagal kemuka dokumen sah bagi muatan beras yang dibawa.

beras
KPB bersama IPD Ipoh rampas 45 tan beras dibawa sebuah treler di JRTB awal pagi tadi kerana disyaki terdapat pelanggaran pada Akta Kawalan Padi Beras (Akta 522). (Gambar fail)
IPOH:
Sebanyak 45 tan metrik beras dan sebuah treler yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM267,000 dirampas dalam Op Pintas 2.0 berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi tadi.

Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Perak Nurul Zhahirah Nahrawi berkata, operasi 1.30 pagi itu dilaksanakan bersama pasukan Unit E5, Cawangan Khas IPD Ipoh.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu treler gagal mengemukakan dokumen sah bagi muatan beras yang dibawa dan disyaki terdapat pelanggaran pada Akta Kawalan Padi Beras (Akta 522).

“Sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau dua tahun penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Zhahirah berkata, pemandu treler berkenaan kemudiannya dibebaskan setelah selesai diambil keterangan.

“KPB Negeri Perak akan terus menggiatkan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras serta peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.