UIAM pertimbang tempat pelajar OKU didakwa tak dibenar mohon universiti awam

UIAM pertimbang tempat pelajar OKU didakwa tak dibenar mohon universiti awam

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir beri jaminan isu itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

universiti
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menegaskan tiada sekatan atau diskriminasi terhadap pelajar OKU melanjutkan pengajian ke universiti. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedang mempertimbangkan tempat kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) autisme yang didakwa tidak dibenarkan memohon penempatan di universiti awam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, memberi jaminan isu tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, lazimnya universiti memerlukan pengesahan berkaitan jenis ketidakupayaan seseorang pelajar sebelum proses permohonan diteruskan mengambil kira kemudahan disediakan institusi dipohon.

“Saya telah minta siasatan dibuat dalam kes tersebut. Isu yang berlaku ialah beliau (pelajar OKU berkenaan) memohon atas nama OKU, dan ada universiti yang ingin mengetahui jenis OKU supaya penyesuaian boleh diberikan berdasarkan keadaan beliau.

“Jadi, apa yang telah kita lakukan ialah memastikan beliau dapat belajar di salah satu IPTA yang diminta. Terkini, saya dimaklumkan UIAM juga sedang meneliti kes ini untuk menempatkan beliau di sana, yang juga merupakan antara universiti pilihannya,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Kementerian Pendidikan Tinggi menjelaskan dakwaan pelajar OKU tidak dibenarkan memohon penempatan di universiti awam disebabkan autisme dihidapinya.

Baru-baru ini, sebuah pertubuhan kesihatan mental menyuarakan kebimbangan terhadap insiden seorang pelajar didakwa tidak dibenarkan memohon penempatan di universiti awam kerana menghidap autisme.

Menurut hantaran di Facebook, pelajar berkenaan yang hanya dikenali sebagai ‘Aniq’ dilaporkan memiliki PNGK matrikulasi 3.83 dan memenuhi syarat umum serta khas program dipohon.

Pemilik akaun FB itu mendakwa, walaupun Aniq — yang merupakan anaknya — pada asalnya dapat memilih program universiti dalam fasa kedua melalui sistem unit pusat universiti (UPU), namun pilihan tersebut ‘hilang’ pada peringkat seterusnya.

Difahamkan, pilihan awal kursus Aniq ialah sains komputer, sains matematik dan statistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam pada itu, Zambry menegaskan tiada sekatan atau diskriminasi terhadap pelajar OKU melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.