
Ketua Portfolio Pendidikan PN, Saifuddin Abdullah, mengesyorkan siasatan merangkumi pengenalpastian individu terlibat dalam siasatan kes itu, dan individu yang mengeluarkan arahan membawa kepada kelemahan siasatan.
“Siasatan itu juga harus menentukan sama ada terdapat campur tangan daripada mana-mana pihak luar pasukan polis, sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang mengakibatkan kelemahan siasatan itu.
“Selain itu, siasatan harus menentukan sama ada kelemahan siasatan tersebut mempunyai kaitan dengan pelanggaran bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.
Seksyen 201 KK menyentuh kesalahan menyebabkan hilangnya keterangan mengenai sesuatu kesalahan yang dilakukan, atau memberi maklumat palsu mengenai kesalahan itu, bagi mengelakkan pesalah daripada seksaan.
Saifuddin juga mengesyorkan, siasatan menetapkan tindakan tatatertib atau hukuman sewajarnya terhadap mana-mana pihak, sama ada daripada pasukan polis atau pihak luar, yang didapati melakukan pelanggaran tatacara atau salah laku berkaitan kelemahan siasatan itu.
Gesaan itu menyusuli keputusan Khalid Ismail menubuhkan pasukan khas Bukit Aman bagi menjalankan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina, yang disambut dengan penghargaan daripada pemimpin PN ini.
Pejabat Urus Setia KPN semalam mengumumkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil alih siasatan kes kematian Zara, yang mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli.
Katanya, penghantaran petugas khas itu sebahagian daripada komitmen untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
Saifuddin berharap, siasatan ke atas kelemahan siasatan terdahulu dapat dilaksanakan, di samping mengenal pasti punca kematian, demi memastikan keadilan dapat ditegakkan bagi pihak Zara Qairina dan keluarganya.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.