Polis nafi kes cabul kanak-kanak NFA

Polis nafi kes cabul kanak-kanak NFA

Menurut polis, siasatan masih berjalan bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.

Naazron Abdul Yusof
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, nafi siasatan terhadap suatu kes membabitkan seorang kanak-kanak berusia 9 tahun dihentikan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis menafikan dakwaan bahawa siasatan terhadap seorang pekerja asing yang didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun di sebuah kedai serbaneka di Kajang pada Februari lalu telah dihentikan.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, nafi kes tersebut dikelaskan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA). Beliau menegaskan siasatan masih berjalan bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak atas kesalahan serangan seksual secara fizikal.

“Tindakan sedang diambil untuk melengkapkan siasatan,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Naazron menyatakan bahawa polis sedang mencari saksi-saksi bagi membantu siasatan. Menurut beliau, laporan polis dibuat pada 12 Mac oleh bapa mangsa yang mendakwa anaknya dicabul pada 27 Februari. Mangsa mendedahkan kejadian itu kepada keluarganya pada 11 Mac.

Terdahulu hari ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa bapa kanak-kanak itu memaklumkannya bahawa polis memutuskan untuk tidak mengambil tindakan.

Pada sidang media di Parlimen, Ahli Parlimen Machang itu turut menyatakan bapa mangsa akan didakwa kerana menyebarkan video dia berdepan pekerja asing terbabit dan pemilik kedai tempat lelaki itu bekerja. Beliau mendakwa video tersebut jelas menunjukkan pekerja asing itu mengaku melakukan perbuatan.

Wan Fayhsal berkata Perikatan Nasional sedia menyediakan peguam untuk bapa mangsa bagi membela diri di mahkamah.

Ditanya sama ada si bapa akan didakwa, Naazron menjawab: “Siasatan masih dijalankan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.