
Akmal yang sebelum ini lantang mengecam pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang kerana mengibarkan bendera negara secara terbalik mengakui kesilapan itu dibuat individu membuat poster bagi Pemuda Umno Terengganu.
Beliau meminta satu laporan polis dibuat dan tindakan tegas dikenakan terhadap individu bertanggungjawab dalam kontroversi itu.
“Saya tak mahu meminta maaf walaupun ini (membabitkan) Pemuda Umno Terengganu dan saya minta mereka hanya mohon maaf.
“Saya minta pihak polis siasat dan kenakan tindakan keras kepada orang yang buat itu, ini bukan soal politik tapi nak hormat lambang negara.
“Tak kisah siapa kamu, bangsa, fahaman politik apa sekali pun. Walaupun ‘geng’ saya…salah tetap salah,” katanya dalam video di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan Pemuda Umno Terengganu semalam memuat naik grafik bagi menyatakan kemarahan mereka terhadap kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang, selain menuntut pembelaan terhadap kematian pelajar Sabah, Zara Qairina Mahathir – yang dikatakan menjadi mangsa buli.
Grafik itu memaparkan Jalur Gemilang dan gambar hitam putih Zara Qairina.
Bagaimanapun, Jalur Gemilang dalam grafik tersebut hanya mempunyai 12 jalur, bukannya 14 seperti yang sepatutnya.
Kesilapan itu disedari pengguna media sosial dan grafik asal itu kemudiannya dipadamkan pada 12.55 tengah hari tadi, dan digantikan grafik baharu memaparkan bilangan jalur yang betul pada Jalur Gemilang.
Dalam pada itu, Akmal berkata pihaknya membatalkan ‘kelas’ memasang bendera di kedai perkakasan di Pulau Pinang itu namun akan tetap ke sana, Khamis ini.
“Kita nak tengok sama ada Loke Siew Fook pasang bendera dengan betul atau tidak,” katanya merujuk tindakan DAP menaja Jalur Gemilang gergasi untuk dipasang pada premis kedai terbabit.
Beliau turut mengalu-alukan ahli DAP yang ingin menyambutnya di kedai terbabit.