Masyarakat sivil desak suruhanjaya bebas siasat kematian Zara Qairina

Masyarakat sivil desak suruhanjaya bebas siasat kematian Zara Qairina

Mereka menuntut suruhanjaya siasat kes buli pelajar lain sejak 10 tahun lalu.

justice for zara qairina
(Dari kiri) Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran menunjukkan salinan memorandum di luar bangunan Parlimen.
PETALING JAYA:
Kumpulan masyarakat sivil mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas menyiasat kematian pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir dan kes buli lain yang melibatkan pelajar, sejak 10 tahun lalu.

Sekretariat Solidariti Zara terdiri pelajar universiti dan pertubuhan sivil turut menuntut hasil siasatan suruhanjaya itu didedahkan secara terbuka kepada rakyat.

Kumpulan itu menyerahkan satu memorandum kepada wakil rakyat di luar bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, selepas berarak dari Taman Tugu sambil membawa kain rentang dan plakad menuntut keadilan untuk Zara.

Dalam memorandum itu, mereka menuntut Kementerian Dalam Negeri dan polis mengadakan inkues berhubung kematian Zara.

“Kami menegaskan nyawa yang terkorban akibat buli sudah terlalu banyak. Sejak bertahun-tahun pelbagai kes buli lain telah berlaku tanpa penyelesaian menyeluruh,” menurut memorandum itu.

Mereka juga menggesa polis memohon maaf secara terbuka atas ‘kelompangan’ penyiasatan kematian Zara.

“Kelewatan tindakan bukan sahaja mencerminkan kelemahan pentadbiran, tetapi juga merupakan bentuk pengkhianatan terhadap amanah melindungi keselamatan pelajar.”

justice for zara qairina
Pelajar universiti dan kumpulan masyarakat sivil berarak dari Taman Tugu ke Parlimen.

Kumpulan itu menuntut Kementerian Dalam Negeri melaksanakan latihan khusus kepada pegawai polis untuk mengendalikan kes buli dengan lebih baik, serta menyeru guru, pentadbir sekolah, dan warden menjalani latihan wajib bagi intervensi krisis dan kaedah betul menerima aduan mangsa buli.

Mereka turut menggesa Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan masyarakat sivil bagi menambah baik SOP mengendalikan kes buli di sekolah.

Dua hari lalu, jenazah Zara digali semula untuk bedah siasat selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan polis menyiasat lanjut kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Semalam, Bukit Aman mengumumkan akan mengambil alih siasatan kes berkenaan.

Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Dia meninggal dunia di hospital keesokannya.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan mengumumkan akan menyemak semula SOP dan garis panduan mengenai keselamatan sekolah serta pengendalian isu disiplin termasuk buli.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad, berkata portal kementerian bagi aduan buli juga akan dipermudahkan dengan pelajar membuat aduan buli diberikan pilihan untuk kekal tanpa nama bagi perlindungan identiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.