Lelaki serah 200 cip kasino curi, kata polis

Lelaki serah 200 cip kasino curi, kata polis

Individu itu serah cip kepada IPD Bentong selepas beli daripada suspek disyaki curi 300 cip dari kasino di Genting Highlands.

Yahaya Othman
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata setiap cip bernilai RM10,000 dibeli lelaki itu daripada suspek. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Polis merampas 200 daripada 300 cip kasino bernilai RM2 juta yang dicuri di Genting Highlands, Bentong, pada 2 Ogos.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata susulan daripada laporan media Jumaat lalu, seorang lelaki tampil menyerahkan 200 cip kasino dengan setiap cip bernilai RM10,000 yang dibeli daripada suspek, yang merupakan ‘junket’.

“Mangsa yang juga seorang daripada junket di kasino itu telah membeli 200 cip daripada suspek di Lobi Genting Grand pada 2 Ogos melalui serahan tangan tanpa sebarang perjanjian bertulis,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPK Pahang.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) sedang mengesan baki 100 cip kasino bernilai RM1 juta bersama suspek yang telah melarikan diri melalui ‘autogate’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Yahaya berkata, hasil rakaman CCTV menunjukkan suspek mengambil cip tersebut lalu beredar ke tempat parkir kereta sebelum meninggalkan kasino di Genting Highlands secara tergesa-gesa dan menuju ke KLIA pada hari sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat junket berusia 32 tahun yang memaklumkan cip kasino berkenaan telah dibawa lari ketika berada di sebuah bilik kasino tertutup di pusat peranginan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.