
Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu terhadap Pang Ming Siong, Cheng Foot Leong dan Tok Chun Wei selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, lapor Berita Harian.
“Dalam menentukan hukuman, mahkamah ini menimbangkan jumlah berat dadah berbahaya yang terbabit ialah 1,483,962.98g selain cara dadah diletak dalam peket ‘Guanyinwang’ dan dimasukkan dalam guni dan dijahit dengan tali rafia.
“Guni dadah disimpan dalam kontena di kawasan kolam ikan yang terbiar dan jauh dari jalan utama. Tindakan ini dilakukan untuk mengelirukan pihak berkuasa daripada mengesan aktiviti pengedaran dadah berbahaya.
“Berdasarkan alasan di atas, mahkamah ini menjatuhi hukuman gantung di leher sehingga mati atas semua tertuduh pada tarikh, masa dan tempat yang ditentukan kelak,” kata Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan, Pang, 54, Cheng, 46, dan Tok, 41, didakwa mengedar lebih 1.48 tan methamphetamine di sebuah kolam ikan di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang kira-kira jam 7.30 pagi, 19 Mac 2019.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh dalam hujahannya memaklumkan bahawa kes berkenaan adalah amat jarang berlaku kerana membabitkan jumlah dadah yang besar.
Peguam Muhammad Abd Kadir dan Khairul Nadia Hasni mewakili semua tertuduh.
Media pada 22 Mac 2019 melaporkan, pihak berkuasa berjaya merampas 2.06 tan syabu yang dibungkus dalam paket bungkusan teh Cina dalam kontena di kawasan kolam ikan dekat ladang kelapa sawit, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram.
Dadah yang dianggar bernilai RM103.2 juta itu menjadi rampasan yang terbesar dalam sejarah negara ketika itu.