Adakah saman Waytha terhadap Anwar berkait pertemuan Bersatu, soal Syahredzan

Adakah saman Waytha terhadap Anwar berkait pertemuan Bersatu, soal Syahredzan

Ahli Parlimen Bangi itu berkata saman untuk batal kelayakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri adalah 'remeh dan menyusahkan'.

Syahredzan Johan P Waytha Moorthy tile pic 12825
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan mempersoalkan tempoh masa saman difailkan Presiden Parti Kemajuan Malaysia P Waytha Moorthy terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Syahredzan Johan mempersoalkan sama ada saman yang difailkan oleh peguam P Waytha Moorthy terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim ada kaitan dengan pertemuan Waytha dengan pemimpin Bersatu baru-baru ini.

FMT hari ini melaporkan bahawa Waytha memfailkan saman bagi mendapatkan deklarasi bahawa Anwar tidak sepatutnya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tambun pada November 2022 dan seterusnya dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Bangi itu berkata bahawa walaupun sesiapa sahaja berhak memfailkan prosiding di mahkamah, beliau berpendapat saman terhadap Anwar itu adalah ‘remeh dan menyusahkan’ memandangkan Anwar telah menjadi perdana menteri hampir tiga tahun.

Beliau juga memaklumkan bahawa Waytha sebelum ini pernah memuji Anwar yang juga pengerusi PH, sebagai individu terbaik untuk mengetuai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

“Bukankah ini satu pengiktirafan bahawa Anwar adalah perdana menteri secara sah?

“Anwar menjadi Ahli Parlimen Tambun selama 996 hari. Namun, Waytha hanya mahu membatalkan kelayakan Anwar sekarang?

“Adakah kebetulan Waytha Moorthy bertemu dengan pemimpin Bersatu bulan lalu, dan hari ini kita dimaklumkan mengenai saman terhadap Anwar ini?” kata Syahredzan.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia itu adalah antara pemimpin parti politik di luar blok kerajaan yang bertemu dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk membincangkan pembentukan gabungan pembangkang.

Syahredzan juga berkata Waytha yang menjadi menteri dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020, tidak membantah ketika Anwar bertanding dan menang PRK Parlimen Port Dickson pada 2018.

“Waytha tidak mempunyai masalah ketika itu.

“Beliau juga tidak memfailkan sebarang saman untuk membatalkan kelayakan Anwar, sehinggalah Parlimen dibubarkan pada 2022,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.