
Musa dalam satu kenyataan berkata menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan tetapi merupakan satu perintah Allah untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah.
“Siasatan ini mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan.
“Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak terutama di media sosial untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan tuduhan tak berasas serta menggalakkan teori konspirasi berhubung kematian Zara.
“Tindakan itu bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka.
“Semua pihak perlu memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes itu,” kata Musa yang turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara.
Sementara itu, Istana Seri Kinabalu juga memaklumkan bahawa majlis tahlil dan doa peringkat negeri khusus untuk Zara akan diadakan pada Khamis ini selepas solat maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Katanya, majlis sama akan turut diadakan secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh negeri pada tarikh berkenaan.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan polis menggali semula jenazahnya untuk bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kematian tersebut.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian itu.