
Ketua Polis Ampang Jaya Azam Ismail berkata wakil rakyat itu membuat laporan polis pada 30 Julai selepas suspek memuat naik video di akaun Facebook ‘Mohd Syahrizal’, yang didakwa dilakukan tanpa pengetahuan atau kebenarannya.
Azam berkata suspek berusia 43 tahun yang juga bekas pembantunya telah menyebut secara jelas nama Ahli Parlimen berkenaan dalam hantaran itu yang didakwa berniat jahat.
Ahli Parlimen berkenaan mendakwa tindakan itu mendedahkannya kepada bahaya dan ugutan.
“Hantaran itu menarik pelbagai komen negatif daripada pengguna Facebook, menyebabkan tekanan, memudaratkan minda, reputasi serta psikologi pengadu.
“Suspek ditahan di Pasir Mas sekitar 11.30 pagi, Jumaat,” katanya dalam kenyataan.
Azam berkata polis merampas dua telefon bimbit dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah namun tidak dikehendaki.
Suspek yang kini menjalankan perniagaan, direman sehingga esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (tingkah laku menghina), dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (penyalahgunaan kemudahan rangkaian).