

Dr Alias Razak (PN–Kuala Nerus) berkata langkah itu dapat mengurangkan kos rawatan kerajaan bagi merawat komplikasi malnutrisi dan bantut yang boleh mencecah RM34.09 bilion setahun
“Kos merawat jauh lebih besar berbanding menyediakan makanan sihat secara percuma kepada mereka.
“Mengikut satu kajian, sekiranya diperuntukkan RM150 seorang bagi kanak-kanak dalam tempoh 1,000 hari pertama, jumlahnya hanya RM2.418 bilion setahun,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Alias berkata berdasarkan data terkini Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024, sebanyak 16.1% kanak-kanak bawah lima tahun mengalami masalah bantut.
Sementara itu, lebih 16% kanak-kanak sekolah mengalami obesiti dan hampir 95% rakyat Malaysia tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran secukupnya.
“Ini bermaksud ia bukan isu kurang makan, tetapi masalah pengambilan makanan yang tidak seimbang, mungkin berpunca daripada peningkatan kos sara hidup tidak selari dengan pendapatan.
“Harga makanan sihat juga semakin mahal. Apabila pendapatan isi rumah terhad, rakyat cenderung memilih makanan paling murah tanpa mengambil kira sama ada sihat atau tidak,” katanya.
Menurutnya, perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada buah-buahan import berkhasiat menjadikan makanan sihat lebih mahal berbanding makanan ringan.