
Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata dalam operasi itu dadah dianggarkan bernilai lebih SGD470,000 (RM1.55 juta) berjaya dirampas.
Agensi itu memaklumkan sejumlah 3,457g heroin, 909g methamphetamine, 3g ganja, lima biji pil ecstasy, lima biji pil Erimin-5 dan sebotol GHB (gamma-hydroxybutyrate) dirampas dalam operasi lima hari itu.
CNB memaklumkan seorang lelaki warga Malaysia berumur 25 tahun ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 5 Ogos kerana cuba menyeludup dadah ke Singapura menggunakan kereta berdaftar Malaysia.
Pegawai daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengarahkan kereta itu menjalani pemeriksaan rapi sebelum menemukan beberapa bungkusan biskut yang disyaki mengandungi dadah terkawal di tempat duduk penumpang belakang.
“Pegawai CNB segera dimaklumkan mengenai penemuan itu dan menjalankan pemeriksaan lanjut. Bungkusan biskut itu kemudiannya didapati mengandungi kira-kira 2,033g heroin dan 731g methamphetamine,” menurut CNB dalam satu kenyataan.
Pada 6 Ogos, pegawai CNB menahan seorang lelaki warga Malaysia berumur 39 tahun dan seorang wanita Malaysia berumur 43 tahun, bersama seorang lelaki warga Singapura berusia 53 tahun, kerana disyaki melakukan kesalahan dadah susulan operasi di sekitar Jurong West dan Henderson Road.
Lelaki warga Malaysia itu didapati memiliki 60g methamphetamine dan beberapa kad kunci sebuah hotel yang terletak di kawasan Geylang.
“Dengan kad kunci yang ditemui itu, pegawai CNB segera menyerbu bilik hotel berkenaan dan menemukan sejumlah 1,421g heroin, 62g methamphetamine dan pelbagai peralatan dadah,” kata kenyataan itu.
Menurut CNB, pada hari yang sama operasi kedua dilancarkan di sekitar Tampines, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Malaysia berumur 28 tahun.
Siasatan terhadap semua suspek yang ditahan masih dijalankan.