Rakyat titip doa, ucapan istimewa buat Anwar

Rakyat titip doa, ucapan istimewa buat Anwar

Anggota Jemaah Menteri, pemimpin negeri, pegawai kanan kerajaan, warga maya dan rakyat pelbagai kaum mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-78 kepada Anwar Ibrahim.

Pejabat Perdana Menteri turut memuat naik video 44 saat memaparkan perjalanan kepimpinan Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Limpahan doa dan ucapan istimewa membanjiri media sosial sempena ulang tahun kelahiran ke-78 Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini yang mencerminkan kasih sayang serta sokongan rakyat terhadap pemimpin negara.

Ucapan penuh ketulusan daripada anggota Jemaah Menteri, pemimpin negeri, pegawai kanan kerajaan, warga maya dan rakyat pelbagai kaum menyerlahkan keyakinan terhadap kepimpinan Anwar dalam membawa transformasi negara menuju Malaysia Madani yang makmur serta sejahtera.

Pejabat Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook mendoakan Anwar sentiasa dikurniakan kesihatan baik, umur panjang dan kekuatan untuk terus memimpin negara ke arah Malaysia yang adil, makmur serta sejahtera.

“Seluruh warga Pejabat Perdana Menteri mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-78 kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim,” menurut hantaran yang turut disertakan video 44 saat memaparkan perjalanan kepimpinannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar dalam ucapannya mendoakan Anwar terus diberikan kesihatan, kekuatan dan kebijaksanaan dalam memimpin negara serta merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa menzahirkan penghargaan terhadap keteguhan dan kesabaran Anwar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali turut menyampaikan ucapan ringkas namun bermakna dengan mendoakan Anwar sentiasa dalam rahmat Allah dan dipanjangkan umur.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pula menyifatkan Anwar pemimpin ulung negara yang memimpin dengan penuh kebijaksanaan.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinannya yang penuh hikmah.

“Doa kami agar setiap langkah YAB sentiasa dipandu petunjuk Ilahi, dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Terima kasih atas kepimpinan yang penuh kebijaksanaan dan kesungguhan dalam membina Malaysia Madani.

Sementara itu, laman Facebook Malaysia Madani turut berkongsi klip video 2 minit 41 saat mengandungi ucapan pelbagai lapisan masyarakat khusus buat Anwar.

Lebih istimewa, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman, ahli akademi dan pendakwa Mohd Farid Ravi Abdullah serta penceramah dan pendakwah Zul Ramli M Razali bersam memanjatkan doa buat Anwar.

Rakyat pelbagai usia, kaum dan latar belakang pekerjaan turut menitip doa kepada Anwar sempena hari istimewa itu.

Lebih menyentuh hati, sekumpulan pelajar Sekolah Kebangsaan Presint 14 Putrajaya membentuk formasi angka 78 sebagai simbolik usia perdana menteri.

“Daripada kami, rakyat Malaysia, setulus hati mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-78 kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik, usia panjang dan kekuatan berterusan untuk memimpin negara menuju Malaysia Madani yang makmur, adil dan sejahtera,” menurut catatan Facebook itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.