Pemilik kedai ditahan kibar Jalur Gemilang terbalik

Pemilik kedai ditahan kibar Jalur Gemilang terbalik

Polis berkata 16 laporan diterima di seluruh negara, termasuk 14 di Pulau Pinang.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki mengibar Jalur Gemilang terbalik.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun di Kepala Batas semalam kerana mengibar Jalur Gemilang terbalik.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata 16 laporan diterima di seluruh negara, termasuk 12 di Pulau Pinang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Pulau Pinang esok dengan cadangan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu didapati bersalah.

Semalam, tular klip video seorang lelaki mengibar Jalur Gemilang terbalik di depan sebuah kedai di Pulau Pinang.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh kemudian mengarahkan sayapnya di semua negeri membuat laporan polis bagi menuntut kerajaan bertindak tegas terhadap perbuatan menghina itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.