
Beliau menyifatkan kenyataan Ketua MIC Kedah, SK Suresh terhadap Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) negeri, Shaiful Hazizy Zainol Abidin sebagai dangkal dan penuh hipokrasi.
“Kalau dalam BN pun sudah tidak setia, bagaimana mahu yakinkan rakyat yang anda setia pada perjuangan mereka.
“Menyindir Umno Kedah kononnya ‘bercium mulut’ dengan DAP hanyalah hujah basi. Realitinya, yang benar-benar kehilangan rakan dan pengaruh di Kedah ialah MIC, bukan Umno,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, dilaporkan Suresh menyelar Umno Kedah yang didakwanya sanggup ‘membuang kawan lama’ demi kerjasama DAP, parti yang menurutnya tidak pernah disenangi akar umbi.
Suresh berkata, Umno Kedah sepatutnya tidak bercakap soal kesetiaan memandangkan tindakan mereka bersama DAP bercanggah pendirian parti sebelum ini.
Kenyataan itu menyusul ucapan ‘selamat maju jaya’ Shaiful kepada MIC, apabila komponen BN itu meluluskan usul bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang.
Ia selepas perkara itu dibangkitkan seorang perwakilan MIC Kedah pada mesyuarat agung tahunan peringkat negeri semalam yang turut dihadiri Presiden SA Vigneswaran.
Suresh bagaimanapun berkata, usul itu akan dibawa ke peringkat pusat dan ditentukan kepimpinan tertinggi parti, lapor China Press.
Sementara itu, Raqib turut mengingatkan MIC Kedah berhenti bermain watak ‘wira wayang’ sebaliknya berdepan realiti politik sebenar.
Beliau berkata, BN Kedah bawah pimpinan Mahdzir Khalid tidak akan tergugat dengan sebarang ugutan atau sindiran.
“Semoga lebih berjaya tanpa perlu menumpang bahtera yang pernah menyelamatkan kamu ketika hampir karam. Umno tidak bercakap untuk sedap di telinga orang, kami bercakap kerana prinsip dan masa depan perjuangan BN,” katanya.