Bayi maut disyaki didera bapa kandung, ibu tiri

Bayi maut disyaki didera bapa kandung, ibu tiri

Suami isteri itu ditahan kira-kira 10 malam tadi sejurus selesai proses pengebumian mangsa berusia setahun 11 bulan.

baby bayi
Polis berkata hasil pemeriksaan mendapati bayi setahun 11 bulan itu mengalami kecederaan otak, lebam dan luka dipercayai akibat hentakan objek tumpul.
KUALA TERENGGANU:
Polis menahan sepasang suami isteri disyaki mendera bayi lelaki berusia setahun 11 bulan hingga meninggal dunia.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pihaknya menerima laporan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 4.14 petang Rabu lalu.

Beliau berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu dibawa ke HSNZ dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 1 tengah hari oleh kedua-dua suspek yang juga bapa kandung dan ibu tirinya.

“Suspek mendakwa pada 5 Ogos (Selasa) lepas, mangsa mengalami bengkak di dahi setelah memanjat pagar penyekat pintu bilik dan terjatuh. Namun, mangsa kembali aktif dan bermain seperti biasa selepas dahinya dituam dengan ais oleh bapanya.

“Bagaimanapun, kira-kira 12 tengah hari keesokannya, ketika ingin memberikan susu, suspek (bapa mangsa) mendapati badan mangsa lemah dan lembik. Untuk mengelak terkena sawan, lelaki itu memberikan urutan di leher mangsa hingga menyebabkan kesan lebam,” katanya dalam kenyataan.

Azli berkata, pada mulanya suspek menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Manir untuk bantuan kecemasan, namun dirujuk ke HSNZ kerana keadaan kesihatannya kritikal.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan otak, selain lebam dan luka dipercayai akibat hentakan objek tumpul.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.05 petang semalam. Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pendarahan dalam kepala akibat trauma dipukul benda tumpul.

“Hasil soal siasat pula, kedua-dua suspek mengaku ada memukul mangsa menggunakan penyangkut baju.”

Katanya, suspek lelaki berusia 27 tahun dan wanita berumur 30 tahun itu ditahan kira-kira 10 malam tadi di Pusat Pengurusan Jenazah Rhu Muda, Marang, sejurus selesai proses pengebumian.

Pasangan itu direman tujuh hari hingga Sabtu depan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Polis turut merampas sebatang penyangkut baju yang digunakan dalam kejadian itu. Seorang lagi anak suspek berusia tiga tahun diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.