‘Biasa dalam politik’, Altimet ulas spekulasi selepas Tengku Zafrul sertai PKR Ampang

‘Biasa dalam politik’, Altimet ulas spekulasi selepas Tengku Zafrul sertai PKR Ampang

Ketua PKR Ampang itu mengulas sama ada penyertaan Tengku Zafrul Aziz akan mencetuskan spekulasi berkait calon PRU16.

tengku zafrul n altimet SYED AHMAD SYED ABDUL RAHMAN
Tengku Zafrul Aziz mengesahkan beliau kini ahli PKR Ampang yang diketuai Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.
PETALING JAYA:
Ketua PKR Ampang Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad menyifatkan spekulasi yang mungkin timbul susulan penyertaan Tengku Zafrul Aziz dalam cabang itu sebagai perkara biasa dalam politik.

Lebih dikenali sebagai Altimet, beliau berkata PKR Ampang mengalu-alukan kemasukan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu yang disahkan Setiausaha Agung Fuziah Salleh kepada FMT.

Semalam, media melaporkan Tengku Zafrul mengesahkan keahliannya di bawah PKR Ampang.

“Mengenai spekulasi (bakal tercetus), perkara itu biasalah dalam politik.

“Dalam PKR Ampang, ada ahli tidak pegang jawatan dalam parti, tetapi menjadi wakil rakyat dan timbalan speaker DUN Selangor (Mohd Kamri Kamaruddin),” kata Altimet kepada FMT.

Beliau mengulas kemungkinan timbul spekulasi, terutama berkaitan calon DUN atau Parlimen pada PRU16 susulan penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR.

Parlimen Ampang kini diwakili Rodziah Ismail, Altimet di DUN Lembah Jaya, manakala Kamri mewakili DUN Bukit Antarabangsa, semuanya dari PKR yang menang atas tiket Pakatan Harapan pada pilihan raya lalu.

Februari lalu, FMT memetik sumber sebagai berkata, Tengku Zafrul dijangka bertanding kerusi di Selangor pada PRU, dengan Ampang menjadi pilihan utama.

Turut dipertimbangkan Petaling Jaya dan Pandan.

Pada 30 Mei lalu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya dalam Umno dan menyatakan hasrat menyertai PKR.

Menerusi surat kepada pimpinan Umno, Tengku Zafrul memaklumkan keputusan meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, ketua Umno Kota Raja dan ahli Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.