Penganalisis ramal Umno boleh selesa di Selangor selepas 2 PRU

Penganalisis ramal Umno boleh selesa di Selangor selepas 2 PRU

Berdasarkan situasi semasa Umno sukar menjadi parti dominan di Selangor berikutan landskap politik yang semakin berpecah kepada banyak gabungan.

Penganalisis berkata jumlah kerusi dimenangi Umno pada PRU lalu dilihat menyukarkannya menggapai cita-cita mendominasi Selangor dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno diramal mampu meningkatkan jumlah kerusi dengan selesa di Selangor selepas dua kali PRU, jika berjaya memenangi hati rakyat melalui kerja akar umbi bagi mengubah persepsi terhadap mereka.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syaza Shukri, berkata dalam keadaan sekarang Umno sukar menjadi parti dominan di Selangor berikutan landskap politik yang semakin berpecah kepada banyak gabungan.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Katanya, jumlah kerusi dimenangi parti itu pada PRU lalu juga dilihat menyukarkan mereka menggapai cita-cita tersebut dalam masa terdekat.

“Saya rasa sangat susah untuk Umno kembali dominan di Selangor. PRU lalu Umno menang dua kerusi sahaja, PAS menang 10 jadi macam mana nak lawan PAS untuk dapatkan undi orang Melayu?

“Saya rasa kalau Umno betul-betul usaha dan ikhlas, mungkin dalam dua kali pilihan raya boleh naik kembali, tapi sebenarnya Umno boleh naik di Selangor melalui kerjasama dengan PH,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata politik hari ini memerlukan kebijaksanaan dan kepercayaan serta tidak mustahil Umno kembali dominan.

Katanya, Umno dengan kerusi yang sedikit mampu memimpin Perak dan Pahang sekali gus tidak mustahil boleh berlaku di Selangor.

Puad berkata demikian sebagai sindiran kemasukan Khir Toyo dalam Bersatu termasuk menuding jari, bekas menteri besar Selangor itu punca Umno hilang kuasa di negeri tersebut hingga hari ini.

Mengulas lanjut Syaza berkata, menjadi tanggungjawab parti politik bekerja untuk rakyat dan ia bukan ukuran dominasi.

“Dominasi politik bagi saya hanya boleh dilihat melalui dua cara sama ada jumlah kerusi yang banyak (electoral math) atau keupayaan menguasai naratif politik dan sentimen rakyat. Cuma kalau strategi itu berjaya, ia boleh membawa kepada dominan yang saya sebutkan,” katanya.

Sementara itu, Lau Zhe Wei juga dari UIAM anggap kenyataan Puad hanya bersifat retorik dan tidak logik.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

Katanya, kenyataan itu tidak mengambil kira realiti politik semasa yang jauh lebih kompleks seperti berlaku di Pahang dan Perak selepas PRU15 iaitu tiada parti berjaya mendapat majoriti menyebabkan pembentukan kerajaan Barisan Nasional-Pakatan Harapan di negeri tersebut.

“Macam Pahang memang dipegang oleh Umno…sebagai satu kompromi, jawatan menteri besar diberikan kepada Umno bukan sebab Umno hebat atau Umno lama berbakti tapi disebabkan percaturan politik,” katanya.

Katanya, bagaimanapun keadaan di Selangor berbeza kerana sejak 2008, negeri itu telah lama diperintah PH atau sebelumnya Pakatan Rakyat dan gabungan itu tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan kerusi menteri besar kepada Umno.

“Dalam politik hari ini, bukan setakat beri perkhidmatan dan terus jadi undi, ia tak semudah itu. Macam MCA, walaupun dah kalah teruk, MCA tetap beri perkhidmatan sama terhadap masyarakat Cina. Apa yang berlaku pada PRU14 dan PRU15, kalah juga.

“Jadi, saya tak rasa dengan beri perkhidmatan lebih elok akan dapat sokongan mudah kepada Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.