
Ketua penerangannya, Ismail Lasim berkata, parti itu bukan sekadar ‘parti tambahan’ bagi Pakatan Harapan (PH), sebaliknya berperanan sebagai rakan pengasas struktur kerajaan perpaduan dan penggerak aspirasi kesejahteraan serta pembelaan nasib rakyat.
Umno juga antara teras penting yang menyumbang kepada kestabilan, kesinambungan dasar dan kekuatan politik kerajaan hari ini, tambahnya.
“Maka suara dan peranan Umno dalam setiap perbincangan dasar, penggubalan undang-undang dan penyusunan agenda pembangunan negara adalah sah dan wajar dihormati.
“Umno bukan menyorok di bawah ketiak PH,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian menyangkal dakwaan bekas menteri besar Khir Toyo kononnya Umno sudah hilang cita-cita untuk mengetuai kerajaan baik pada peringkat negeri mahupun persekutuan, mendorong keputusannya menyertai Bersatu.
Khir yang pernah menjadi bekas menteri besar Selangor dari 2000 hingga 2008 berkata, Umno sekarang sekadar parti pelengkap tanpa cita-cita untuk menjadi kerajaan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, sejarah panjang Umno di negara ini membawa pengalaman, jaringan akar umbi yang kukuh serta pemahaman mendalam terhadap keperluan rakyat pelbagai lapisan, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.
Justeru, parti itu bukan sahaja relevan malah penting dalam memastikan dasar kerajaan benar-benar berpaksikan rakyat, menurutnya.
“Kita menolak sebarang cubaan untuk meminggirkan suara atau peranan Umno hanya kerana komposisi kerjasama politik yang lebih luas,” katanya.
“Kerjasama bukan bermakna tunduk atau diam, tetapi saling melengkapi demi matlamat lebih besar iaitu kestabilan dan kemakmuran negara.”
PKR menerajui kerajaan Selangor melalui Pakatan Rakyat dan kini PH sejak 2008, selepas tumbangnya kerajaan BN pimpinan Khir.