
Saifuddin berkata, dua editor akhbar Sin Chew Daily itu disiasat polis mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar 1963); Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 3(1)(c) melibatkan penggunaan lambang tanpa kebenaran, manakala Seksyen 4(1)(b) pula adalah berkaitan menghasilkan penerbitan yang mungkin menghasut keganasan, menggalakkan ketidakpatuhan terhadap undang-undang, atau menimbulkan perasaan buruk, ketidakharmonian atau perpecahan.
Seksyen 233 pula membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Polis sentiasa melaksanakan tugas secara profesional, bebas dan tanpa sebarang campur tangan politik,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang menyoal kenapa dua editor itu ditahan reman berhubung kesilapan itu, tetapi tindakan serupa tidak diambil terhadap kesalahan sama dilakukan ahli politik PAS dan Kementerian Pendidikan.
Lim mendakwa berlaku layanan dua darjat dalam siasatan berkenaan.
Pada April lalu, akhbar Sin Chew Daily mencetuskan kontroversi apabila menerbitkan ilustrasi memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang membawa kepada siasatan polis. Dua editor akhbar itu kemudian ditahan polis.
Akhbar itu memohon maaf atas “kesilapan teknikal” berkenaan, dan menggantung tugas ketua editor serta timbalan ketua penyuntingnya sehingga siasatan kes itu selesai.
Seminggu selepas itu, Kementerian Pendidikan pula terpaksa memohon maaf kerana kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Laporan itu mengandungi imej Jalur Gemilang dengan dua bintang dilihat digantung di bahagian hadapan sebuah bilik darjah, selain hanya lapan jalur merah dan putih.
Pada Mei, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengakui kejadian melibatkan logo untuk Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 yang juga memaparkan jalur gemilang tidak lengkap bintang dan jalurannya.
Beliau kemudian menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas diambil atas kesilapan itu.