
Timbalan Ketua Pemuda PKR, Izuan Kasim, berkata jika logik sama digunakan maka PKR juga mampu menjadi parti dominan di Johor dan Melaka.
“Jadi, sebenarnya kenyataan seperti ini tak perlu nak keluar pun. Borak kedai kopi, borak sama kawan-kawan bolehlah, tapi tak perlu keluar kenyataan sebegini.
“Sebab dia (Puad) bukan pimpinan rendah, dia pimpinan tertinggi. Kadang-kadang apa yang dia cakap tidak mencerminkan apa dizahirkan presiden parti dia,” katanya yang juga Adun Kota Damansara kepada FMT.
Semalam, Puad menyindir kemasukan Khir Toyo dalam Bersatu termasuk menuding jari, bekas menteri besar Selangor itu adalah punca Umno hilang kuasa di negeri tersebut hingga hari ini.
Ia susulan Khir berkata, Umno tidak akan menjadi parti dominan di Selangor jika bertanding dengan kerusi yang sedikit pada PRU akan datang termasuk terus menjadi ‘parti pelengkap’ jika terus menyorok dibawah ketiak PH.
Bagaimanapun, Puad berkata politik hari ini memerlukan kebijaksanaan dan kepercayaan serta tidak mustahil Umno kembali dominan.
“Masakan Umno boleh memimpin Perak dan Pahang dengan kerusi yang kurang. Ia tidak mustahil boleh berlaku di Selangor,” bidas Puad.
Mengulas lanjut, Izuan berkata kenyataan Puad hanya akan menyebabkan kesukaran kepada Umno menghadapi PRU akan datang kerana ia tidak diputuskan pimpinan tertinggi.
Katanya, situasi itu berbeza dengan PKR yang lebih fleksibel dan mudah membuat keputusan dengan merujuk gabungan pernah disertai sebelum ini seperti Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan.
“Kita (PKR) jenis jujur. Cuma kenyataan dia tak perlulah. Kalau Umno boleh dominan di Selangor, begitu juga PKR boleh dominan kembali di Johor, Melaka. Jadi, gambaran diberikan tidak perlu…dia pergi sarapan dekat kampung dia sudahlah,” sindirnya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR G Gunarajah pula berkata kenyataan dikeluarkan Puad itu perlu dibuat berhati-hati dalam konteks semasa yang menyaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mentadbir kerajaan perpaduan.
Menurutnya, kerajaan perpaduan yang telah mengembalikan kestabilan politik dan keyakinan pelabur bukan dibina atas dominasi parti tetapi prinsip tanggungjawab bersama.
“Begitu juga di Selangor, pentadbiran Amirudin Shari telah menunjukkan pencapaian konsisten dan progresif, malah diterima baik rakyat pelbagai kaum.
“Di bawah pimpinan beliau, dasar-dasar kerajaan negeri ditumpukan kepada kebajikan rakyat, pembangunan mampan dan reformasi pentadbiran. Ini hasil kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan, termasuk Umno,” katanya.
“Jika ingin menunjukkan kekuatan, tunjukkanlah dalam membantu rakyat, bukan mendominasi rakan. Dominasi itu tidak perlu dinyatakan, biar rakyat menilai melalui prestasi dan keikhlasan kita.”