
Tertuduh M Arunkumar, 36, yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas anak lelakinya, pada 23 Julai.
Kesalahan itu dilakukan antara 9.02 pagi hingga 12.55 tengah hari di tepi jalan KM25 Jalan Rompin, Bahau daerah Jempol.
Justeru, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh untuk sebutan bagi laporan bedah siasat.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi Seremban, pada 10 Sept ini.
Sebelum ini, dilaporkan kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, disyaki dibunuh selepas mayatnya dijumpai ditanam di kawasan Rompin, Jempol.
Laporan kehilangan mangsa dibuat sendiri bapanya.
Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata bedah siasat dijalankan di Hospital Rembau mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan tekanan pada bahagian leher akibat jerutan pengikat kabel.