Utamakan jururawat masyarakat tamat PSL isi kekosongan sektor perubatan

Utamakan jururawat masyarakat tamat PSL isi kekosongan sektor perubatan

MNU tolak cadangan lantikan tenaga kerja sektor perubatan dari luar negara.

Kelmarin, KJRI Johor Bahru cadang kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari republik itu berkhidmat di negara ini.
PETALING JAYA:
Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) menolak cadangan lantikan tenaga kerja sektor itu dari luar negara untuk berkhidmat di negara ini bagi menangani isu kekurangan kakitangan sektor perubatan.

Presidennya Saaidah Athman berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengutamakan jururawat masyarakat yang tamat Peningkatan Secara Lantikan (PSL) dan masih menunggu lantikan tetap untuk menampung kekosongan perjawatan itu di hospital kerajaan.

“Saya berharap sumber-sumber sedia ada dapat diutamakan seperti jururawat masyarakat yang telah tamat PSL serta masih menunggu lantikan tetap jawatan jururawat,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Saaidah berkata, sekiranya keadaan mendesak dan tiada pilihan lain selain terpaksa mengambil jururawat dari luar negara, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah wajar bagi memastikan kualiti perkhidmatan dapat dikekalkan.

Semalam, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru mencadangkan kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari republik itu berkhidmat di negara ini, sekali gus menangani isu kekurangan tenaga kerja sektor perubatan.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S Widiyanto berkata, langkah itu disifatkan situasi menang-menang memandangkan ketika ini kira-kira 70% pesakit antarabangsa di negara ini berasal dari Indonesia.

Beliau optimis langkah itu akan memberi manfaat dua hala kerana Malaysia berdepan kekurangan tenaga kesihatan termasuk jururawat, manakala Indonesia mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang itu.

Sigit berkata, pihaknya ketika ini telah memulakan kerjasama peringkat negeri dengan sebuah hospital di Johor, termasuk melaksanakan proses pengambilan calon sebelum mengemukakannya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur untuk kelulusan.

Beliau berkata, jururawat dari Indonesia kini sudah diiktiraf di banyak negara termasuk Singapura, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Australia, dan Jerman, membuktikan mereka berkemampuan berkhidmat di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.